Perubatan sukan merupakan cabang sains kesihatan pelbagai disiplin yang memfokuskan kepada rawatan, pencegahan,dan intervensi kecederaan yang berkaitan dengan aktiviti fizikal serta sukan. Dalam era perubatan moden, pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk memenuhi tuntutan fisiologi atlet berprestasi tinggi mahupun individu aktif.Oleh yang demikian, penyelidikan dalam perubatan sukan bertindak sebagai tulang belakang (backbone) kepada inovasi klinikal. Ia menyediakan struktur yang empirikal bagi menguji keberkesanan sesuatu modaliti rawatan, protokol rehabilitasi, atau program pencegahan kecederaan.
Modul 1 Post Basic Perubatan Sukan ini memberi pendedahan menyeluruh kepada pegawai mengenai asas perubatan sukan merangkumi aspek orientasi dan pentadbiran seperti saringan pra-pertandingan (pre-competition screening) bagi memastikan keselamatan dan kesesuaian atlet sebelum menyertai aktiviti sukan. Pegawai juga diperkenalkan kepada anatomi dan fisiologi sistem muskuloskeletal yang menjadi asas penting dalam memahami pergerakan, prestasi fizikal serta mekanisme kecederaan. Di samping itu, modul ini turut menekankan konsep senaman berbahaya (dangerous exercise) yang boleh meningkatkan risiko kecederaan akibat teknik yang salah, beban latihan berlebihan atau pengabaian prinsip keselamatan. Akhir sekali, pegwai diberi latihan praktikal melalui bengkel kecederaan sukan dan rehabilitasi yang merangkumi pencegahan kecederaan, pengurusan awal serta proses pemulihan atlet, dengan tujuan meningkatkan keupayaan pegawai dalam mengurus kecederaan sukan secara komprehensif dan profesional.
Modul 2 Post Basic Perubatan Sukan ini merangkumi pendekatan holistik dalam pengurusan atlet melalui pemahaman sistem kardiovaskular dan sistem tenaga yang menjadi asas kepada prestasi fizikal serta adaptasi terhadap latihan. Pegawai juga didedahkan kepada aspek pemakanan sukan yang menekankan kepentingan nutrisi seimbang dalam meningkatkan prestasi, pemulihan, dan pencegahan kecederaan. Selain itu, modul ini turut merangkumi psikologi sukan yang membantu memahami faktor mental, motivasi, dan tekanan yang mempengaruhi prestasi atlet, serta penilaian dan penaksiran sukan (sports assessment and evaluation) bagi mengenal pasti tahap kecergasan, risiko kecederaan, dan keperluan latihan. Elemen pendidikan kesihatan dalam perubatan sukan juga ditekankan bagi meningkatkan kesedaran atlet terhadap gaya hidup sihat dan pencegahan kecederaan. Akhir sekali, modul ini memberi fokus kepada proses rehabilitasi kecederaan sukan termasuk pelbagai kaedah rawatan (treatment modalities) yang bertujuan mempercepatkan pemulihan, memulihkan fungsi, dan memastikan atlet kembali ke tahap prestasi optimum dengan selamat dan berkesan.
Modul 3 Post Basic Perubatan Sukan ini memberi pendedahan kepada pegawai mengenai aspek penting dalam pengurusan kecederaan dan isu etika dalam sukan. Pegawai diperkenalkan kepada jenis-jenis kecederaan sukan yang lazim berlaku seperti sprain, strain, dislokasi, dan kecederaan tisu lembut yang memerlukan penilaian dan pengurusan awal yang tepat. Modul ini juga menekankan kemahiran dalam pengambilan sejarah pesakit (history taking) dan pemeriksaan fizikal kecederaan sukan bagi membantu dalam diagnosis klinikal yang lebih tepat serta perancangan rawatan yang sesuai. Di samping itu, pegawai didedahkan kepada persediaan pesakit untuk prosedur arthroscopy, termasuk aspek pra-prosedur, keselamatan, dan penjagaan pesakit. Akhir sekali, modul ini turut membincangkan isu doping dalam sukan yang meliputi jenis bahan terlarang, kesan terhadap kesihatan dan prestasi atlet, serta kepentingan pematuhan kepada peraturan anti-doping dalam memastikan integriti sukan terpelihara.